Diari JIM Petaling Jaya

Catatan tentang program dan aktiviti JIM Petaling Jaya

Thursday, August 31, 2006

Ucapan Penutup YDP di MAD

MENJAYAKAN MISI ISLAH

Ucapan Penutup Hj Mazmi bin Kamal, YDP JIM PJ

Mesyuarat Agung Daerah, JIM Daerah Petaling Jaya

Fakulti Sastera, Universiti Malaya

7-Syaaban-1427 (31-Ogos-2006)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Yang saya hormati Sdr YDP JIM Negeri Selangor, barisan pimpinan JIM Petaling Jaya, ahli-ahli JIM Petaling Jaya dan hadirin sekelian.

Assalamualaikum warahmatullah.

1. PENDAHULUAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, selesai sudah lapuran dan pembentangan MAD kali ini. Dalam upcapan penutup ini saya ingin menyatakan bahawa sekali-lagi ingin kita ingatkan tentang tanggungjawab kita melaksanakan tarbiyah dan dakwah. Cara kita bergerak adalah melalui jamaah, dan jamaah mempunyai amal jamaa’ie yang perlu dipatuhi bagi menjamin kejayaan dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Sama-samalah kita berazam untuk meningkatkan diri kita dan saling membantu dalam menjayakan Misi Islah di Petaling Jaya ini.

2. MATLAMAT KEHIDUPAN KITA

Saudara-saudari yang budiman,

Matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai tujuan penciptaannya, iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku "

(Surah Al-Zaariyat: 56)

3. KEPENTINGAN TARBIYAH DAN DAKWAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Teringat saya dalam satu pertemuan dengan Saudara Presiden kita Hj Zaid Kamaruddin, beliau ada menyebutkan bahawa bisnes JIM adalah tarbiyah dan dakwah. Dinyatakan bahawa dalam Misi Islah, kita ingin membangun sumber manusia untuk melahirkan insan soleh wa musleh.

Dalam kerangka mengislahkan maysarakat adalah amat penting untuk kita mengislah diri kita sendiri juga dan menjadikan diri kita insan yang soleh. Ini dapat dicapai dengan pentarbiyahan yang berterusan. Kemudian kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai insan yang musleh yang berdakwah mengislahkan orang lain dan masyarakat sekeliling kita.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Saya ingin berkongsi satu penulisan mengenai tarbiyah dan dakwah yang ditulis di MISGnet yang saya rasa memberi gambaran yang agak baik tentang tarbiyah dan dakwah.

Dalam penulisan tersebut dinyatakan bahawa tarbiyah dan dakwah tidak dapat dipisahkan dalam Islam. Tarbiyah membawa maksud latihan pendidikan untuk melengkapkan seorang individu Muslim dengan segala aspek kekuatan rohani, jasmani, emosi, sosial, intelek dan kemahiran. Dakwah adalah usaha menyeru manusia ke jalan Allah dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangannya.

Tarbiyah seperti bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan dakwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan bertahan lama, ia akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu tidak lama dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

Dalam memahami kepentingan dakwah pula kita perlu sedari bahawa sumber hidayah boleh dibahagikan kepada 2:

1. Hidayah tidak mutlak dari Rasul dan pendakwah

2. Hidayah mutlak dari Allah s.w.t.

Dalam al-Fatehah, kita membaca اهدنا الصراط المستقيم . Maksudnya ialah “Tunjukkan kami jalan yang lurus.” Menurut Quraish Shihab, penggunaan ‘kami’ di sini menjelaskan dua sebab:

1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya diperoleh oleh seorang individu sahaja. Satu jemaah atau kumpulan perlu diberi hidayah untuk memastikan individu lain berada di atas jalan yang lurus. Jika Si-Fulan mendapat hidayah tetapi lingkungannya tidak, ia akan mengancam hidayah keimanan yang ada dalam diri Si-Fulan.

2. Hidayah tidak mutlak ini diperoleh hasil daripada usaha sesama manusia dan ia akan menjadi asas kepada hidayah mutlak yang hadir daripada Allah.

Bagi merealisasikan sebab yang kedua tersebut, dakwah diperlukan. Dakwah adalah usaha diperingkat sesama manusia untuk memohon hidayah mutlak dari sisi Allah. Tidak mungkin Allah memberi hidayah begitu sahaja tanpa usaha diperingkat manusia.

Dakwah juga adalah tugas Rasul yang menunjukkan nilai pengorbanan yang tinggi. Individu yang tidak melaksanakan dakwah masih belum cukup berkorban dan masih tidak layak untuk mengaku sebagai pengikut Nabi yang sejati.

Tarbiyah dan dakwah perlu seiringan dan tidak sesuai dipisahkan. Walaupun Rasul s.a.w. berdakwah secara ‘rasmi’ pada usia 40 tahun, namun beliau sudah menyediakan ‘modal’ dakwah sebelum itu lagi. Salah satu modal tersebut yang disusun oleh Allah s.w.t. ialah sifat amanah dan mulia akhlaknya sehingga digelar al-Amin. Ini adalah modal setelah beliau mendapat wahyu pertama. Baginda membina kejayaan karier dakwahnya seawal kehidupan remaja beliau. Rasul s.a.w. mendapat tarbiyah daripada Allah s.w.t. melalui Jibril sebagai gurunya sehingga Baginda wafat.

Tarbiyah menjadi amat-amat penting apabila seseorang berada pada lapangan dakwah yang memerlukan lebih banyak persediaan dan kekadang ‘minyak’ habis tiba-tiba disebabkan perjalanan dakwah ini jauh dan sukar.

Apakah kesan tarbiyah tanpa dakwah?

Tarbiyah adalah potensi seperti air dalam badan manusia. Sememangnya air diperlukan, namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk pelbagai seperti darah, membaiki tisu dan sebagainya. Jika air tersebut di’peram’kan di dalam badan, ia akan busuk dan menyebabkan penyakit. Segala ilmu dan potensi yang dibina dalam Tarbiyah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum (qadhi) daripada penyeru ke arah kebenaran (dua’t). Tanpa dakwah, Tarbiyah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan diri sahaja betul dan individu lain salah.

Apakah kesan dakwah tanpa tarbiyah?

Tarbiyah adalah minyak yang menyediakan tenaga dan modal kepada pendakwah. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak dibekalkan daripada semasa ke semasa. Apabila ketandusan minyak, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si pendakwah itu sendiri rasa letih dan tidak mampu meneruskan kerja dakwah. Inilah asas kepada gejala keguguran dalam medan dakwah. Tarbiyah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada jalan yang mulia ini.

4. USRAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Saya berharap kita tidak memandang remeh tentang kepentingan usrah ini. Sebagai YDP, saya melihat akan situasi yang kita hadapi maka adalah dirasakan usrah adalah asas utama yang dapat membantu menjayakan PS JIM yang telah digariskan, bersesuaian dengan bidang hasil utama pembangunan sumber manusia.

JIM wujud dengan adanya ahli yang soleh. Ahli haruslah ditarbiyah secara berterusan agar dapat menjadi insan yang soleh dan musleh. Salah satu caranya adalah melalui usrah.

AJK kadang-kala mengeluh tidak mempunyai ahli untuk membantu melaksanakan tugasan. Dengan usrah tugasan-tugasan yang ada dapat diagihkan. ”Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Sdr Presiden risau tentang keupayaan kita memobilisasi ahli untuk perhimpunan dan menghadiri program-program yang disusun. Pimpinan daerah tidak mempunyai maklumat dan kawalan samada berapa ramai atau sebab mengapa ahli hadir atau tidak hadir. Melalui usrah kita mempunyai capaian jaringan yang lebih baik. Dengan dispilin amal-jamai’e yang sempurna naqib/naqibah dapat menjadi saluran kawalan, komunikasi dan mobilisasi yang baik.


Al-Ustaz Hasan Al-Banna pernah menerangkan seperti berikut:

Islam sangat memandang berat pembentukan ikatan perpaduan antara penganut-penganutnya, dan ikatan-ikatan ini dinamakan usrah-usrah. Dengan terbentuk usrah-usrah seperti ini dapatlah orang-orang Islam dipimpin ke arah contoh-contoh amalan-amalan yang terpji, dan dapat pula diperkuatkan ikatan-ikatan mereka, malah dapat juga dipertinggikan mutu persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah di kalangan mereka daripada tingakatan-tingkatan percakapan-percakapan biasa dan pandangan-pandangan teori kepada perbuatan dan amalan.

5. PENUTUP

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Kita memahami bahawa bisnes kita adalah tarbiyah dan dakwah itu sendiri. Cara kita bergerak adalah melalui jamaah, dan jamaah mempunyai amal jamaa’ie yang perlu dipatuhi bagi menjamin kejayaan dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Adalah menjadi harapan kita dalam masa setahun yang akan datang ini bahawa kita harus memastikan:

1. Diri kita dan semua ahli disusun dalam usrah.

2. Kita mendisiplinkan diri kita untuk taat serta menghormati pimpinan termasuk AJK dan naqib/naqibah usrah kita.

3. Kita sanggup menerima dan melaksanakan tanggungjawab yang diberi kepada diri atau kumpulan usrah kita.

4. Kita menghadiri dan melibatkan diri kita dalam program-program yang disusun.

5. PS JIM dicapai sepenuhnya.

Walaupun jika ingin digariskan banyak lagi harapan yang ada, namun ini adalah asas-asas bagi menjayakan Misi Islah.

6. RUJUKAN

1. MISG Net. Kepentingan Tarbiyah dan Dakwah.

2. Risalah Usrah Jilid 1 ”Sekitar Risalah Usrah”, Abu Urwah, Pustaka Salam, 1986.

Ucapan Pembukaan YDP di MAD

MENJAYAKAN MISI ISLAH

Ucapan Pembukaan Hj Mazmi bin Kamal, YDP JIM PJ

Mesyuarat Agung Daerah, JIM Daerah Petaling Jaya

Fakulti Sastera, Universiti Malaya

7-Syaaban-1427 (31-Ogos-2006)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Yang saya hormati Sdr YDP JIM Negeri Selangor, barisan pimpinan JIM Petaling Jaya, ahli-ahli JIM Petaling Jaya dan hadirin sekelian.

Assalamualaikum warahmatullah.

1. PENDAHULUAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t berkumpul kita hari ini Mesyuarat Agung Daerah JIM Petaling Jaya (JIM PJ) 2006 atas dasar ukhuwwah dan juga bagi menjalankan tanggungjawab kita sebagai ahli JIM PJ. Pada hari yang sama setahun yang lalu kita telah bertemu dan barisan jawatankuasa JIM PJ sessi 2005-2007 telah dipilih. Di Mesyuarat Agung Daerah (MAD) ini sama-samalah kita melihat kembali apa yang telah kita laksanakan setahun yang lalu. Sama-samalah kita bermuhasabah dan nasihat-menasihati bagaimana dapat kita memperbaiki dan menyemarakkan lagi dakwah dan Misi Islah di Petaling Jaya ini.

2. VISI, MISI, MOTTO DAN PENDEKATAN JIM

Saudara-saudari yang dikasihi,

Saya ingin berulang-ulang mengingatkan diri kita bahawa kewujudan JIM adalah untuk merealisasikan visi:

Membangun sebuah negara Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya syariat Islam menjelang 2020

Untuk mencapai visi yang telah ditetapkan, maka JIM perlu melaksana misi berikut:

Menjadi Gerakan Islam ulung yang:

· membangun sumber manusia untuk melahirkan insan soleh wa musleh;

· membudaya pendekatan perkongsian dan permuafakatan; dan

· mengislah dan menggembleng masyarakat ke arah penegakan kebenaran dan keadilan sejagat.

Kesemua ini dirumuskan dalam satu pernyataan Motto JIM yang berbunyi "Bersama Islam Membina Masyarakat".

Ciri pendekatan JIM:

Memberi keutamaan kepada kepentingan Islam, ummah dan masyarakat

Positif dan membangun; dengan penilaian dan sikap yang objektif

Penggembelingan sumber dan kemampuan ummah dan masyarakat

3. BIG PICTURE

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

JIM Pusat dalam rangka menjayakan visi dan misi tersebut telah menggariskan Peta Strategi (BIG PICTURE), Perancangan Strategik JIM (PS JIM) dan telah menggariskan bidang-bidang hasil utama yang perlu dicapai. Bagi setiap setiap bidang hasil utama tersebut telah juga diletakkan pengukur pencapaian atau lebih dikenali sebagai KPI (Key Performance Indicator). Pertanggungjawaban perlaksanaan juga telah digariskan samada ianya diperingkat Pusat, Negeri atau Daerah. Cabaran kita adalah untuk merencana menurut strategi, bertindak menurut perencanaan dan menggembleng sumber untuk pelaksanaan tindakan.

4. JIM PJ dalam BIG PICTURE

Saudara-saudari yang dimuliakan,

JIM Pusat tidak mempunyai ahli yang tersendiri, jadi 6 daerah yang berdekatan dengan JIM Pusat telah dipilih untukmembantu JIM Pusat dalam melaksanakan program-program yang telah dirancang diperingkat Pusat. JIM PJ telah diberi kepercayaan sebagai salah satu daripada 6 daerah tersebut.

Namun begitu, disamping membantu JIM Pusat, JIM PJ tetap juga melaksanakan tanggungjawab yang telah digariskan dalam PS JIM untuk daerah-daerah mencapainya. Di MAD ini akan dibentangkan bidang-bidang yang telah dilaksanakan dan pencapaiannya. Alhamdlillah, hasil kerja dan sokongan kita semua lebih 70% KPI ini telah terlaksana.

JIM Daerah Petaling Jaya meletakkan empat (3) unsur utama haluan gerakkerja iaitu:

1. Pembangunan Sumber Manusia

2. Pemantapan Organisasi

3. Dana

Objektif JIM PJ bagi tahun 2005-2007 ialah:

1. Menambahbaik usaha pentarbiyahan /dakwah dikalangan ahli JIM dan masyarakat JIM..

2. Memperhalusi usaha menyantuni ahli JIM, rakan JIM dan masyarakat Petaling Jaya amnya..

3. Memperkemaskan pengoperasian strategi organisasi.

4. Mempertingkatkan dana untuk menapung kerja-kerja dakwah JIM PJ.

Program tarbiyah dan dakwah ini dapat dibahagikan kepada empat bahagian yang utama.

1. Program berkala. Ini adalah program tetap yang diadakan untuk ahli dan umum samada mingguan, bulanan, atau tahunan.

2. Program bersama ahli.

3. Program bersama masyarakat.

4. Program Bersama Negeri & Pusat.

Program-program yang telah dilaksanakan sejak setahun yang lalu ada dinyatakan dalam Lapuran Tahunan MAD ini.

5. PORTFOLIO JIM PETALING JAYA

Berikut adalah jawatankuasa-jawatankuasa JIM PJ dan sedikit perkongsian aktivitinya:

1. JK Tarbiyah & Pembangunan Sumber Manusia (TPSM) - Merangkumi usaha dalam pembinaan sumber manusia melalui program Tarbiyah & Pembangunan Sumber Manusia dalam menghasilkan ahli-ahli yang menepati ciri-ciri individu yang salih wa muslih. Program TPSM JIM PJ antaranya:

a. Usrah. Pertemuan mingguan diadakan dan modul yang disediakan adalah mengikut peringkat-peringkat yang tertentu agar kita sentiasa mendapat peningkatan diri dan dapat juga menyampaikan dakwah dengan risalah yang jelas. Disamping itu ianya dapat meningkatkan ukhuwah, kekuatan dalaman ahli dan organisasi itu sendiri. Juga fungsi utamanya adalah sebagai saluran komunikasi yang sangat penting.

b. Qiam. Diadakan setiap bulan bagi melatih diri kita untuk bermujahadah kepada Allah swt.

c. Iftar. Majis berbuka puasa bersama, kini lebih fokus kepada pelajar-pelajar IPT

d. Kuliah Bulanan. Pada tahun ini kita mengadakan Kuliah Bulanan yang mengupas “Kitab Riyadus Salihin” yang di sampaikan oleh Ust Maszlee bertempat di Masjid UIA PJ.

2. JK Remaja – Merangkumi usaha-usaha yang melibatkan pembangunan remaja. Aktiviti yang dijalankan termasuk:

a. Program motivasi pelajar

b. Sukan futsal

c. Program pembangunan remaja masjid

d. Program pembangunan fasilitator program

3. JK IPT – Merangkumi usaha-usaha yang melibatkan pembangunan pelapis daripada kalangan pelajar universiti. IPT yang utama adalah Universiti Melaya & Kolej UIA PJ. Antara aktiviti yang telah berjalan adalah:

a. Penyusunan pentarbiyahan di IPT

b. Jaringan KARISMA-JIM

4. JK Pembangunan Keluarga – Merangkumi usaha dalam menangani isu-isu kekeluargaan dalam masyarakat serta pembangunan keluarga melalui Baitul Muslim. Aktiviti setakat ini adalah Siri Seminar Keluarga yang telah dan akan merangkumi hal hubungan suami-isteri, remaja dan kewangan keluarga.

5. JK Media - Berusaha menerbitkan bahan-bahan dalam pelbagai media bagi tujuan penyebaran dakwah dan fikrah Islam ke arah pencapaian wawasan JIM. Setakat ini kita menyebarkan berita dan program JIM PJ melalui blog yang dikenali sebagai Diari JIM PJ (http://diarijimpj.blogspot.com)

6. Jawatankuasa (JK) Dakwah – Bertanggungjawab melaksanakan dakwah, memberi panduan dan bantuan lain kepada masyarakat.

Memandangkan bilangan saudara baru bertambah setiap tahun. Adalah malang apabila ramai dari mereka kembali kepada agama lama kerana tekanan yang dialami ataupun kerana tiada sokongan.

Setiap saudara baru sangat memerlukan sokongan sebab ada kalanya mereka akan berhadapan dengan berbagai dugaan seperti:

· Tentangan dari keluarga seperti suami/isteri, ibubapa, adik-beradik dan lain-lain

· Kesukaran meninggalkan kebiasaan yang lama yang bertentangan dengan Islam

· Pandangan serong di tempat kerja dan masyarakat sekeliling

· Kesusahan menyesuaikan diri dengan cara hidup baru

· Penyisihan oleh teman dan rakan

Menyedari kesukaran dan cabaran yang bakal mereka hadapi, JK Dakwah JIM Pusat telah menyediakan tempat yang dipanggil Hidayah Centre yang akan berperanan dalam memberi bantuan dan sokongan yang sangat diperlukan oleh mereka iaitu:

· Menyediakan tempat perlindungan sementara

· Menyediakan pusat bimbingan ilmu bagi memantapkan iman

· Memberi sokongan moral untuk berhadapan dengan keluarga dan masyarakat

· Memberi bantuan kewangan untuk yang memerlukan

· Lain-lain bantuan terutama kepada yang masih lagi mempunyai kerisauan dan keraguan setelah memeluk agama Islam

Hidayah Center kelolaan JIM PJ terletak disebuah rumah yang telah diwakafkan di Saujana Puchong.

7. JK Dana - Bertanggungjawab mendapatkan sokongan dana dari pelbagai sumber bagi menampung aktiviti-aktiviti JIM dan dakwah secara umumnya. Setakat ini initiatif yang sedang diusahakan adalah komisyen daripada bisnes insuran kereta dan pembayaran zakat pendapatan.

8. JK Hak Asasi Manusia - Merangkumi usaha-usaha berkaitan dengan hak asasi manusia dengan membangunkan serta memasyhurkan hak asasi manusia menurut Islam. Setakat ini kebanyakan aktiviti adalah bersama dengan JK Pusat.

9. PENUTUP

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Dengan ini sama-samalah kita meneruskan MAD dan sama-samalah kita bermuhasabah dan nasihat-menasihati bagaimana dapat kita memperbaiki dan menyemarakkan lagi dakwah dan Misi Islah di Petaling Jaya ini.

10. BIBLIOGRAFI

1. http://www.jim.org.my. Profail JIM

MAD JIM PJ



Mesyuarat Agong Daerah (MAD) JIM Daerah Petaling Jaya telah diadakan pada 31 Ogos o6 di Fakulti Sastera Universiti Malaya pada jam 2.30 petang hingga jam 5.00 petang. MAD ini telah dirasmikan oleh YDP JIM Selangor Akh Fadhil Abdullah dan dipengerusikan oleh Pegerusi tetap Ust Maszlee Malik. Mesyuatar Agong Wanita Daerah (MAWD) pula telah diadakan pada sebelah pagi di tempat yang sama. Setia Usaha Agong JIM Sdr Nahar sempat datang menjengok MAD tadi serta sempat memberi sedikit komen tentang laporan tahunan

Friday, August 25, 2006



RS Palastin Di Masjid TTDI

Ogos 24 RS Palastin telah diadakan di Masjid TTDI selepas sembahyang marghib. Ceramah telah disampaikan oleh Us Maszlee Malik. Di akhir program pengerusi masjid Tan Sri Kamaruzzaman telah menyampaikan kutipan sebanyak RM4905.47 kepada ydp JIM PJ Hj Mazmi Kamal.

Monday, August 21, 2006

WACANA INTERAKTIF MEDIA



Ogos 13 JIM PJ telah menghantar 4 orang wakil ke Wacana Interaktif Media yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras. Mereka adalah S Usaha Sdr Kamal, Bendahari Sdr Hisyam, ajk Media A Malek dan Sdr Khadijah

Sunday, August 06, 2006

Lawatan JIM Pusat ke Selangor

Shah Alam, 6-Ogos -- JIM Pusat telah mengadakan lawatan untuk berjumpa pimpinan JIM negeri & daerah di negeri Selangor. Pertemuan itu telah berlangsung di Masjid Shah Alam dari jam 3-7 petang. JIM Negeri Selangor dan beberapa daerah telah membentangkan pecapaian Perancangan Strategik (PS) dan juga beberapa contoh program yang telah dijalankan.

Sdr Nahar, Setiausaha Agung JIM Pusat dan juga Sdr Presiden menyentuh bahawa kita mesti memastikan bahawa perancangan, strategi, program dan juga prioriti negeri & daerah perlulah berdasarkan PS yang telah digariskan dan berusaha sebaik mungkin mencapai KPI yang telah ditetapkan.

Apa kata pimpinan negeri dan pusat?

Dari YDP JIM Negeri Selangor

Assalamualaikumwrt.;

JIM Negeri Selangor Darul Ehsan merakamkan penghargaan dan terima kasih atas lawatan kerja JKP ke Selangor. Terlebih dahulu kami mohon maaf atas berapa koordinasi teknikal yang berlaku. Kami juga memohon maaf kerana tiada apa juadah dan minuman yang disajikan sebagai meraikan rombongan. Lain kali insya Al;ah jika ruang masa mencukupi.

Banyak tindakan susulan yang Selangor perlu ambil. Iltihzam kita dimantapkan dan bagitu juga istiqamah kami akan diserlahkan melalui usaha berterusan dimedan dakwah ini. Teguran diambil kira bagi memacu kerja terencana dan strategik mencapai tuaian yang diimpikan.

Insya Allah we have the PASSION dan PATIENCE dalam menjelajah tariquddakwah. Kami berdoa agar kita dai'illallah yang punya jatidiri tinggi dan tidak menjadi PATIENT untuk dirawat kerana leka dalam jalanan.

Sehubungan dan mengambil kesempatanini memaklumkan kepada Saudara Nahar selaku Setiausaha Agung bahawa Mesyuarat Perwakilan Negeri akan diadakan pada 30hb September 2006 bersamaan 7hb Ramadan 1427. Sempena MPN tersebut kami merancang mengadakan IFTAR PERDANA Negeri Selangor yang akan mengedar tikit sedikit masa lagi untuk jualan hidangan berdulang. Berderma dan membina ukhwah dengan dapat duduk makan sedulang. Saudara Razali sedang merancang perincian penuh program.Kami berharap semua saf JKP akan dapat turut serta nanti.

Sekali lagi ucapan terima kasih dan pohon maaf atas kekurangan yang berlaku.

Fadzil bin Hj. Abdullah
YDP JIM Selangor

-------------------------------------------------------

Daripada SU Agung JIM Pusat

naharmn@tm.net.my wrote:
Salam

Alhamdulillah Lawatan Kerja JKP ke JIM Negeri Selangor dan 9 JIM Daerah di bawahnya telah diadakan pada hari Ahad, 6 Ogos 2006 bertempat di Masjid Negeri Selangor. Sdr Presiden, Sdr Tim Presiden, Sdr Naib Presiden Prof Dr Sahrim dan ana telah hadir. Turut hadir adalah JKPW, Pn Rosmawati, Pn Mas Ahmah serta Ustzh Marhamah.

JIM Selangor yang mempunyai jumlah ahli JIM teramai mempunyai aktivisme yang pelbagai. JIM IPT Selangor yang dipimpin oleh Br Fauwaz dengan pasukannya mempunyai gerak kerja yang baik. Secara umum koordinasi dengan daerah-daerah di Selangor dalam aspek ini telah dilakukan. Mereka juga terlibat membantu menjayakan MISI. Satu perkara yang elok diikuti oleh yang lain adalah rancangan mereka untuk mengadakan “retreat” JIM IPT Selangor pada awal bulan September 2006- sebelum MPN. Retreat ini antara lain adalah untuk menilai prestasi dan merancang untuk bergerak ke hadapan, juga untuk membantu membuat laporan bagi MPN. Mereka sebenarnya akan buat “pra-MPN” bagi JIM IPT Selangor!–satu tindakan yang boleh dikuti oleh JK-JK lain di Selangor mahupun negeri-negeri lain.

KRJ telah digerakkan dengan baik di kebanyakan daerah di Selangor. Antara KRJ yang menonjol adalah KRJ Sepang yang sudah 8 tahun mengusahakan Pusat Bimbingan Remaja, KRJ Petaling Jaya serta KRJ Ampang Jaya. JIM Daerah Ampang Jaya juga, seperti yang kita sedia maklum terus ke hadapan dengan program aulad, Nadi Asybal.

Dakwah kepada non-muslim juga giat dilaksanakan di pelbagai daerah di Selangor. Terdapat dua Hidayah Centre di Selangor, satu di daerah Hulu Sngor dan satu lagi di Daerah P Jaya. Dakwah secara langsung kepada non-muslim juga giat dilakukan oleh JIM Daerah Klang dengan kegiatan dakwah di hospital.

WJIM Selangor dan Daerah-daerahnya terlibat dalam menjayakan perkara 1.5 dalam Perancangan Strategik JIM. Wanita JIM Sngor kuhususnya JIM PJ, Petaling dan dan beberapa daerah berdekatan telah memberi sokongan yang kuat bagi menjayakan RS.

Sebagai negeri yang hampir kepada JIM Pusat, sokongan yang diberikan bagi menjayakan aktivisme JIM Pusat amat kami hargai. Antaranya adalah sokongan bagi menjayakan SHAMDI, beberapa perhimpunan awam serta menggerakkan aktivisme ulama dan Palestin.

Dengan usaha yang lebih bersungguh-sunguh serta perancangan dan koordinasi yang lebih mantap, JIM Selangor dan Daerah-daerah di bawahnya akan dapat memberi impak dan sumbangan yang lebih bermakna dalam menjayakan Perancangan Strategik JIM.

Jzkk kepada semua yang hadir serta semangat ukhuwah dan keterbukaan yang dizahirkan.

Wassalam

Nahar Md. Nor
Pengerusi JK Pembangunan Negeri dan Daerah
019-3328141

YDP & Ust Fauzi Menghadiri TOPS

Bangi, 6-Ogos -- Hj Mazmi Kamal & Ust Fauzi telah mewakili JIM PJ untuk menjalani latihan penceramah isu Palestin anjuran JIM Internasional di ESSET (Institut Latihan KWSP), Bangi. Program yang juga lebih dikenali sebagai TOPS (Training of Palaestin Speakers) itu telah dihadiri oleh ahli JIM seluruh negara dan juga wakil Karisma. Ianya bertujuan untuk membina takungan peceramah bagi menampung permintaan yang banyak daripada masjid & surau. Para pelatih dibekalkan dengan teknik dan juga bahan ceramah.

Tuesday, August 01, 2006

Ceramah Palestin di Surau Pantai Permai



Pantai Dalam, 1 Aug -- Seramai lebih 50 orang penduduk Pangsapuri Pantai Permai telah berkumpul di Surau Pantai Permai untuk mendengar ceramah Palestin yang disampaikan oleh Ust Fauzi Asmuin. Majlis telah dipengerusikan oleh Sdr Rosli yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Pantai Permai. Sumbangan yang dikutip sejak seminggu yang lalu telah diserahkan oleh Hj Azhar imam surau tersebut kepada YDP JIM PJ, Hj Mazmi Kamal. Jumlah kutipan adalah sebanyak RM1677.20