Diari JIM Petaling Jaya

Catatan tentang program dan aktiviti JIM Petaling Jaya

Thursday, August 31, 2006

Ucapan Pembukaan YDP di MAD

MENJAYAKAN MISI ISLAH

Ucapan Pembukaan Hj Mazmi bin Kamal, YDP JIM PJ

Mesyuarat Agung Daerah, JIM Daerah Petaling Jaya

Fakulti Sastera, Universiti Malaya

7-Syaaban-1427 (31-Ogos-2006)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Yang saya hormati Sdr YDP JIM Negeri Selangor, barisan pimpinan JIM Petaling Jaya, ahli-ahli JIM Petaling Jaya dan hadirin sekelian.

Assalamualaikum warahmatullah.

1. PENDAHULUAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t berkumpul kita hari ini Mesyuarat Agung Daerah JIM Petaling Jaya (JIM PJ) 2006 atas dasar ukhuwwah dan juga bagi menjalankan tanggungjawab kita sebagai ahli JIM PJ. Pada hari yang sama setahun yang lalu kita telah bertemu dan barisan jawatankuasa JIM PJ sessi 2005-2007 telah dipilih. Di Mesyuarat Agung Daerah (MAD) ini sama-samalah kita melihat kembali apa yang telah kita laksanakan setahun yang lalu. Sama-samalah kita bermuhasabah dan nasihat-menasihati bagaimana dapat kita memperbaiki dan menyemarakkan lagi dakwah dan Misi Islah di Petaling Jaya ini.

2. VISI, MISI, MOTTO DAN PENDEKATAN JIM

Saudara-saudari yang dikasihi,

Saya ingin berulang-ulang mengingatkan diri kita bahawa kewujudan JIM adalah untuk merealisasikan visi:

Membangun sebuah negara Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya syariat Islam menjelang 2020

Untuk mencapai visi yang telah ditetapkan, maka JIM perlu melaksana misi berikut:

Menjadi Gerakan Islam ulung yang:

· membangun sumber manusia untuk melahirkan insan soleh wa musleh;

· membudaya pendekatan perkongsian dan permuafakatan; dan

· mengislah dan menggembleng masyarakat ke arah penegakan kebenaran dan keadilan sejagat.

Kesemua ini dirumuskan dalam satu pernyataan Motto JIM yang berbunyi "Bersama Islam Membina Masyarakat".

Ciri pendekatan JIM:

Memberi keutamaan kepada kepentingan Islam, ummah dan masyarakat

Positif dan membangun; dengan penilaian dan sikap yang objektif

Penggembelingan sumber dan kemampuan ummah dan masyarakat

3. BIG PICTURE

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

JIM Pusat dalam rangka menjayakan visi dan misi tersebut telah menggariskan Peta Strategi (BIG PICTURE), Perancangan Strategik JIM (PS JIM) dan telah menggariskan bidang-bidang hasil utama yang perlu dicapai. Bagi setiap setiap bidang hasil utama tersebut telah juga diletakkan pengukur pencapaian atau lebih dikenali sebagai KPI (Key Performance Indicator). Pertanggungjawaban perlaksanaan juga telah digariskan samada ianya diperingkat Pusat, Negeri atau Daerah. Cabaran kita adalah untuk merencana menurut strategi, bertindak menurut perencanaan dan menggembleng sumber untuk pelaksanaan tindakan.

4. JIM PJ dalam BIG PICTURE

Saudara-saudari yang dimuliakan,

JIM Pusat tidak mempunyai ahli yang tersendiri, jadi 6 daerah yang berdekatan dengan JIM Pusat telah dipilih untukmembantu JIM Pusat dalam melaksanakan program-program yang telah dirancang diperingkat Pusat. JIM PJ telah diberi kepercayaan sebagai salah satu daripada 6 daerah tersebut.

Namun begitu, disamping membantu JIM Pusat, JIM PJ tetap juga melaksanakan tanggungjawab yang telah digariskan dalam PS JIM untuk daerah-daerah mencapainya. Di MAD ini akan dibentangkan bidang-bidang yang telah dilaksanakan dan pencapaiannya. Alhamdlillah, hasil kerja dan sokongan kita semua lebih 70% KPI ini telah terlaksana.

JIM Daerah Petaling Jaya meletakkan empat (3) unsur utama haluan gerakkerja iaitu:

1. Pembangunan Sumber Manusia

2. Pemantapan Organisasi

3. Dana

Objektif JIM PJ bagi tahun 2005-2007 ialah:

1. Menambahbaik usaha pentarbiyahan /dakwah dikalangan ahli JIM dan masyarakat JIM..

2. Memperhalusi usaha menyantuni ahli JIM, rakan JIM dan masyarakat Petaling Jaya amnya..

3. Memperkemaskan pengoperasian strategi organisasi.

4. Mempertingkatkan dana untuk menapung kerja-kerja dakwah JIM PJ.

Program tarbiyah dan dakwah ini dapat dibahagikan kepada empat bahagian yang utama.

1. Program berkala. Ini adalah program tetap yang diadakan untuk ahli dan umum samada mingguan, bulanan, atau tahunan.

2. Program bersama ahli.

3. Program bersama masyarakat.

4. Program Bersama Negeri & Pusat.

Program-program yang telah dilaksanakan sejak setahun yang lalu ada dinyatakan dalam Lapuran Tahunan MAD ini.

5. PORTFOLIO JIM PETALING JAYA

Berikut adalah jawatankuasa-jawatankuasa JIM PJ dan sedikit perkongsian aktivitinya:

1. JK Tarbiyah & Pembangunan Sumber Manusia (TPSM) - Merangkumi usaha dalam pembinaan sumber manusia melalui program Tarbiyah & Pembangunan Sumber Manusia dalam menghasilkan ahli-ahli yang menepati ciri-ciri individu yang salih wa muslih. Program TPSM JIM PJ antaranya:

a. Usrah. Pertemuan mingguan diadakan dan modul yang disediakan adalah mengikut peringkat-peringkat yang tertentu agar kita sentiasa mendapat peningkatan diri dan dapat juga menyampaikan dakwah dengan risalah yang jelas. Disamping itu ianya dapat meningkatkan ukhuwah, kekuatan dalaman ahli dan organisasi itu sendiri. Juga fungsi utamanya adalah sebagai saluran komunikasi yang sangat penting.

b. Qiam. Diadakan setiap bulan bagi melatih diri kita untuk bermujahadah kepada Allah swt.

c. Iftar. Majis berbuka puasa bersama, kini lebih fokus kepada pelajar-pelajar IPT

d. Kuliah Bulanan. Pada tahun ini kita mengadakan Kuliah Bulanan yang mengupas “Kitab Riyadus Salihin” yang di sampaikan oleh Ust Maszlee bertempat di Masjid UIA PJ.

2. JK Remaja – Merangkumi usaha-usaha yang melibatkan pembangunan remaja. Aktiviti yang dijalankan termasuk:

a. Program motivasi pelajar

b. Sukan futsal

c. Program pembangunan remaja masjid

d. Program pembangunan fasilitator program

3. JK IPT – Merangkumi usaha-usaha yang melibatkan pembangunan pelapis daripada kalangan pelajar universiti. IPT yang utama adalah Universiti Melaya & Kolej UIA PJ. Antara aktiviti yang telah berjalan adalah:

a. Penyusunan pentarbiyahan di IPT

b. Jaringan KARISMA-JIM

4. JK Pembangunan Keluarga – Merangkumi usaha dalam menangani isu-isu kekeluargaan dalam masyarakat serta pembangunan keluarga melalui Baitul Muslim. Aktiviti setakat ini adalah Siri Seminar Keluarga yang telah dan akan merangkumi hal hubungan suami-isteri, remaja dan kewangan keluarga.

5. JK Media - Berusaha menerbitkan bahan-bahan dalam pelbagai media bagi tujuan penyebaran dakwah dan fikrah Islam ke arah pencapaian wawasan JIM. Setakat ini kita menyebarkan berita dan program JIM PJ melalui blog yang dikenali sebagai Diari JIM PJ (http://diarijimpj.blogspot.com)

6. Jawatankuasa (JK) Dakwah – Bertanggungjawab melaksanakan dakwah, memberi panduan dan bantuan lain kepada masyarakat.

Memandangkan bilangan saudara baru bertambah setiap tahun. Adalah malang apabila ramai dari mereka kembali kepada agama lama kerana tekanan yang dialami ataupun kerana tiada sokongan.

Setiap saudara baru sangat memerlukan sokongan sebab ada kalanya mereka akan berhadapan dengan berbagai dugaan seperti:

· Tentangan dari keluarga seperti suami/isteri, ibubapa, adik-beradik dan lain-lain

· Kesukaran meninggalkan kebiasaan yang lama yang bertentangan dengan Islam

· Pandangan serong di tempat kerja dan masyarakat sekeliling

· Kesusahan menyesuaikan diri dengan cara hidup baru

· Penyisihan oleh teman dan rakan

Menyedari kesukaran dan cabaran yang bakal mereka hadapi, JK Dakwah JIM Pusat telah menyediakan tempat yang dipanggil Hidayah Centre yang akan berperanan dalam memberi bantuan dan sokongan yang sangat diperlukan oleh mereka iaitu:

· Menyediakan tempat perlindungan sementara

· Menyediakan pusat bimbingan ilmu bagi memantapkan iman

· Memberi sokongan moral untuk berhadapan dengan keluarga dan masyarakat

· Memberi bantuan kewangan untuk yang memerlukan

· Lain-lain bantuan terutama kepada yang masih lagi mempunyai kerisauan dan keraguan setelah memeluk agama Islam

Hidayah Center kelolaan JIM PJ terletak disebuah rumah yang telah diwakafkan di Saujana Puchong.

7. JK Dana - Bertanggungjawab mendapatkan sokongan dana dari pelbagai sumber bagi menampung aktiviti-aktiviti JIM dan dakwah secara umumnya. Setakat ini initiatif yang sedang diusahakan adalah komisyen daripada bisnes insuran kereta dan pembayaran zakat pendapatan.

8. JK Hak Asasi Manusia - Merangkumi usaha-usaha berkaitan dengan hak asasi manusia dengan membangunkan serta memasyhurkan hak asasi manusia menurut Islam. Setakat ini kebanyakan aktiviti adalah bersama dengan JK Pusat.

9. PENUTUP

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Dengan ini sama-samalah kita meneruskan MAD dan sama-samalah kita bermuhasabah dan nasihat-menasihati bagaimana dapat kita memperbaiki dan menyemarakkan lagi dakwah dan Misi Islah di Petaling Jaya ini.

10. BIBLIOGRAFI

1. http://www.jim.org.my. Profail JIM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home