Diari JIM Petaling Jaya

Catatan tentang program dan aktiviti JIM Petaling Jaya

Sunday, June 03, 2007

KONTARN 2007

Shah Alam, 3 Jun -- KONTARN atau KONvensyen TARbiah-PSM Nasional telah di adakan di Intekma Resort, Shah Alam selama dua hari pada 2-3 Jun 2007. Tema KONTARN kali ini adalah "Menjana Nuqaba Berwibawa ke Arah Menegakkan Syariah". Seramai 386 peserta telah hadir dari seluruh negara. KONTARN kali ini telah di kendalikan oleh TPSM JIM Pusat dengan kerjasama JIM KL dan Selangor.

JIM Petaling Jaya telah diberi tugasan sebagai JK Pengangkutan yang telah dilaksanakan dengan baiknya oleh Cikgu Azmi, Ridwani Lidam, Mohd Noor Said dan Anuar Aris. Saya juga berpeluang sedikit sebanyak membantu JK Pengangkutan ini sambil mengikuti program KONTARN. Wakil atau nuqaba' JIM PJ ke KONTARN adalah seramai 16 orang termasuk 7 orang dari KARISMA PJ.

Hari Pertama (2-Jun-2007)

Ucap utama dan perasmian oleh Presiden JIM menekankan agar kita lebih serious dalam merancang pembinaan nuqaba' dengan mempunyai perancangan, data dan sasaran yang jelas dilokaliti masing-masing. Beliau juga menekankan tentang kualiti 'produk' yang ingin kita hasilkan agar dapat menjadi penggerak dakwah dan taat agar mudah dimobilisasikan bila diperlukan oleh pimpinan. Untuk menjayakan visi 2020 kita memerlukan 35,000 orang penggerak dan seramai 3,500 orang nuqaba' untuk memimpin mereka. Kita harus berusaha keras meningkatkan bilangan ahli dan juga bilangan nuqaba' yang ada bagi menjayakan visi ini.

Ketua Wanita JIM Pusat pula menekankan bahawa nuqaba' wibawa adalah mereka yang diberi thiqah atau kepercayaan oleh ahli-ahli usrah mereka. Juga wibawa bermaksud mempunyai kualiti 5 bintang (pengurus, penghubung, pemimpin, contoh, membuat keputusan). Nuqaba' wibawa bukan sahaja dapat membentuk peribadi dan memberi ilmu bahkan juga dapat mencambahkan amal ahli-ahli usrahnya sepertimana yang dianalogikan dengan cahaya yang dicambahkan melalui prisma atau kereta yang diisi minyak.

TPSM Pusat telah membentangkan Prestasi KPI dan KRA TPSM Tahun 2006 negeri dan daerah. JIM PJ telah juga disenaraikan sebagai salah satu daerah yang baik pencapaiannya mengikut penilaian nazir. Majlis telah diceriakan oleh cara pembentangan penaziran oleh Kpt Adzlan yang telah melawat ke daerah-daerah untuk penaziran. Penambahan ahli adalah 11.3% berbanding 3% pada 2005, sasarannya adalah 20% setahun. Yang perlu dilihat juga adalah tentang ahli berdaftar yang tak dapat dikesan, dari 8108 ahli berdaftar hanya 4934 ahli yang dapat dikesan. Ini hampir 40% tidak dapat dikesan. Pada pandangan saya, kita harus pelajari bahawa kita harus tidak hanya ghairah mendapatkan ahli tetapi harus juga memastikan ahli-ahli baru dipertanggungjawabkan kepada nuqaba' atau AJK tertentu untuk follow-up dan terus menghubugi mereka.

Us Alias dalam Bicara Tokoh I telah menyampaikan tajuk "Pembinaan Kualiti Nuqaba Berwibawa" menekankan perlunya para naqib perlu bijaksana dalam mengendalikan ahli-ahli usrah agar mereka dapat merasakan kekuatan ukhuwwah dan dapat mencetuskan amal bukan hanya sekadar majlis ilmu biasa sahaja.

Bicara Tokoh II bebentuk forum yang membawa tokoh-tokoh dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman mereka. Forum telah dipengerusikan oleh Hj Zairulsahfuddin dan panelnya adalah Ustzah Maznah, Hj Nahar dan juga Dr. Irwan Prayitno dari Indonesia.

Sesi Khas bertajuk"Pelaksanaan Pendekatan Mentoring & Coaching Dalam Pembinaan Nuqaba" oleh Dr Suriyakhatun Osman. Nuqaba harus pelajari dan mampu menjadi mentor coach untuk anak-anak usrah mereka. Agar mereka dapat digerakkan atas dasar kerjasama bukan arahan atau paksaan.

Program Khas disebelah malamnya bertajuk "Sistem Pembinaan Nuqaba: Satu Pengalaman Di Indonesia" disampaikan oleh Dr Irwan Prayitno selaku salah seorang tokoh PKS dari Indonesia. Antara slogan yang dikongsi oleh beliau adalah "Tarbiah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiah" dan "Kami adalah Da'i, sebelum segala sesuatu". Pengajaran yang dapat diambil dari pengalaman mereka adalah fokus kepada dakwah dan tarbiah, laksanakan dan libatkan ahli mengikut bidang prioriti dan kekuatan yang ada, keep it simple dalam menghadapi permasalahan dan melaksanakan kerja-kerja dakwah. Dakwah ini sunnatullah sifatnya, ianya bila dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana Allah swt maka kejayaan akan menyusul.

Hari ke 2 (3-Jun-07)

Ustaz Muhaimin dalam slot motivasi pagi banyak menekankan tentang hubungkait dan keseimbangan antara ilmu dan amal.

Berdasarkan penyampaian pada slot-slot yang sebelum ini para peserta kemudiannya berbengkel untuk membincangkan tajuk "Pelaksanaan Sistem Penjanaan Naqib Baru Di Negeri Dan Daerah" dan memberi cadangan tentang "Ciri-ciri Nuqaba Berjaya" dan "Tindakan Perlaksanaan Sistem Penjanaan Nuqaba".

Ustazah Marhamah dalam ucapan beliau mewakili TPSM JIM Pusat mengingatkan para peserta agar melaksanakan amanat dari pimpinan, menjadi nuqaba' syarie yang yakin dengan amanat dari Allah swt ini, kerjasama yang lebih rapat antara nuqaba dan agar para nuqaba berebut untuk mendapatkan pahala Allah.

Hj Raji dalam ucapan penutupan mengingatkan para peserta bahawa cabarannya adalah melaksanakan apa yang telah kita persetujui untuk laksanakan bersama.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home