Diari JIM Petaling Jaya

Catatan tentang program dan aktiviti JIM Petaling Jaya

Thursday, August 31, 2006

Ucapan Penutup YDP di MAD

MENJAYAKAN MISI ISLAH

Ucapan Penutup Hj Mazmi bin Kamal, YDP JIM PJ

Mesyuarat Agung Daerah, JIM Daerah Petaling Jaya

Fakulti Sastera, Universiti Malaya

7-Syaaban-1427 (31-Ogos-2006)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Yang saya hormati Sdr YDP JIM Negeri Selangor, barisan pimpinan JIM Petaling Jaya, ahli-ahli JIM Petaling Jaya dan hadirin sekelian.

Assalamualaikum warahmatullah.

1. PENDAHULUAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, selesai sudah lapuran dan pembentangan MAD kali ini. Dalam upcapan penutup ini saya ingin menyatakan bahawa sekali-lagi ingin kita ingatkan tentang tanggungjawab kita melaksanakan tarbiyah dan dakwah. Cara kita bergerak adalah melalui jamaah, dan jamaah mempunyai amal jamaa’ie yang perlu dipatuhi bagi menjamin kejayaan dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Sama-samalah kita berazam untuk meningkatkan diri kita dan saling membantu dalam menjayakan Misi Islah di Petaling Jaya ini.

2. MATLAMAT KEHIDUPAN KITA

Saudara-saudari yang budiman,

Matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai tujuan penciptaannya, iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku "

(Surah Al-Zaariyat: 56)

3. KEPENTINGAN TARBIYAH DAN DAKWAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Teringat saya dalam satu pertemuan dengan Saudara Presiden kita Hj Zaid Kamaruddin, beliau ada menyebutkan bahawa bisnes JIM adalah tarbiyah dan dakwah. Dinyatakan bahawa dalam Misi Islah, kita ingin membangun sumber manusia untuk melahirkan insan soleh wa musleh.

Dalam kerangka mengislahkan maysarakat adalah amat penting untuk kita mengislah diri kita sendiri juga dan menjadikan diri kita insan yang soleh. Ini dapat dicapai dengan pentarbiyahan yang berterusan. Kemudian kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai insan yang musleh yang berdakwah mengislahkan orang lain dan masyarakat sekeliling kita.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Saya ingin berkongsi satu penulisan mengenai tarbiyah dan dakwah yang ditulis di MISGnet yang saya rasa memberi gambaran yang agak baik tentang tarbiyah dan dakwah.

Dalam penulisan tersebut dinyatakan bahawa tarbiyah dan dakwah tidak dapat dipisahkan dalam Islam. Tarbiyah membawa maksud latihan pendidikan untuk melengkapkan seorang individu Muslim dengan segala aspek kekuatan rohani, jasmani, emosi, sosial, intelek dan kemahiran. Dakwah adalah usaha menyeru manusia ke jalan Allah dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangannya.

Tarbiyah seperti bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan dakwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan bertahan lama, ia akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu tidak lama dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

Dalam memahami kepentingan dakwah pula kita perlu sedari bahawa sumber hidayah boleh dibahagikan kepada 2:

1. Hidayah tidak mutlak dari Rasul dan pendakwah

2. Hidayah mutlak dari Allah s.w.t.

Dalam al-Fatehah, kita membaca اهدنا الصراط المستقيم . Maksudnya ialah “Tunjukkan kami jalan yang lurus.” Menurut Quraish Shihab, penggunaan ‘kami’ di sini menjelaskan dua sebab:

1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya diperoleh oleh seorang individu sahaja. Satu jemaah atau kumpulan perlu diberi hidayah untuk memastikan individu lain berada di atas jalan yang lurus. Jika Si-Fulan mendapat hidayah tetapi lingkungannya tidak, ia akan mengancam hidayah keimanan yang ada dalam diri Si-Fulan.

2. Hidayah tidak mutlak ini diperoleh hasil daripada usaha sesama manusia dan ia akan menjadi asas kepada hidayah mutlak yang hadir daripada Allah.

Bagi merealisasikan sebab yang kedua tersebut, dakwah diperlukan. Dakwah adalah usaha diperingkat sesama manusia untuk memohon hidayah mutlak dari sisi Allah. Tidak mungkin Allah memberi hidayah begitu sahaja tanpa usaha diperingkat manusia.

Dakwah juga adalah tugas Rasul yang menunjukkan nilai pengorbanan yang tinggi. Individu yang tidak melaksanakan dakwah masih belum cukup berkorban dan masih tidak layak untuk mengaku sebagai pengikut Nabi yang sejati.

Tarbiyah dan dakwah perlu seiringan dan tidak sesuai dipisahkan. Walaupun Rasul s.a.w. berdakwah secara ‘rasmi’ pada usia 40 tahun, namun beliau sudah menyediakan ‘modal’ dakwah sebelum itu lagi. Salah satu modal tersebut yang disusun oleh Allah s.w.t. ialah sifat amanah dan mulia akhlaknya sehingga digelar al-Amin. Ini adalah modal setelah beliau mendapat wahyu pertama. Baginda membina kejayaan karier dakwahnya seawal kehidupan remaja beliau. Rasul s.a.w. mendapat tarbiyah daripada Allah s.w.t. melalui Jibril sebagai gurunya sehingga Baginda wafat.

Tarbiyah menjadi amat-amat penting apabila seseorang berada pada lapangan dakwah yang memerlukan lebih banyak persediaan dan kekadang ‘minyak’ habis tiba-tiba disebabkan perjalanan dakwah ini jauh dan sukar.

Apakah kesan tarbiyah tanpa dakwah?

Tarbiyah adalah potensi seperti air dalam badan manusia. Sememangnya air diperlukan, namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk pelbagai seperti darah, membaiki tisu dan sebagainya. Jika air tersebut di’peram’kan di dalam badan, ia akan busuk dan menyebabkan penyakit. Segala ilmu dan potensi yang dibina dalam Tarbiyah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum (qadhi) daripada penyeru ke arah kebenaran (dua’t). Tanpa dakwah, Tarbiyah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan diri sahaja betul dan individu lain salah.

Apakah kesan dakwah tanpa tarbiyah?

Tarbiyah adalah minyak yang menyediakan tenaga dan modal kepada pendakwah. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak dibekalkan daripada semasa ke semasa. Apabila ketandusan minyak, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si pendakwah itu sendiri rasa letih dan tidak mampu meneruskan kerja dakwah. Inilah asas kepada gejala keguguran dalam medan dakwah. Tarbiyah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada jalan yang mulia ini.

4. USRAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Saya berharap kita tidak memandang remeh tentang kepentingan usrah ini. Sebagai YDP, saya melihat akan situasi yang kita hadapi maka adalah dirasakan usrah adalah asas utama yang dapat membantu menjayakan PS JIM yang telah digariskan, bersesuaian dengan bidang hasil utama pembangunan sumber manusia.

JIM wujud dengan adanya ahli yang soleh. Ahli haruslah ditarbiyah secara berterusan agar dapat menjadi insan yang soleh dan musleh. Salah satu caranya adalah melalui usrah.

AJK kadang-kala mengeluh tidak mempunyai ahli untuk membantu melaksanakan tugasan. Dengan usrah tugasan-tugasan yang ada dapat diagihkan. ”Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Sdr Presiden risau tentang keupayaan kita memobilisasi ahli untuk perhimpunan dan menghadiri program-program yang disusun. Pimpinan daerah tidak mempunyai maklumat dan kawalan samada berapa ramai atau sebab mengapa ahli hadir atau tidak hadir. Melalui usrah kita mempunyai capaian jaringan yang lebih baik. Dengan dispilin amal-jamai’e yang sempurna naqib/naqibah dapat menjadi saluran kawalan, komunikasi dan mobilisasi yang baik.


Al-Ustaz Hasan Al-Banna pernah menerangkan seperti berikut:

Islam sangat memandang berat pembentukan ikatan perpaduan antara penganut-penganutnya, dan ikatan-ikatan ini dinamakan usrah-usrah. Dengan terbentuk usrah-usrah seperti ini dapatlah orang-orang Islam dipimpin ke arah contoh-contoh amalan-amalan yang terpji, dan dapat pula diperkuatkan ikatan-ikatan mereka, malah dapat juga dipertinggikan mutu persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah di kalangan mereka daripada tingakatan-tingkatan percakapan-percakapan biasa dan pandangan-pandangan teori kepada perbuatan dan amalan.

5. PENUTUP

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Kita memahami bahawa bisnes kita adalah tarbiyah dan dakwah itu sendiri. Cara kita bergerak adalah melalui jamaah, dan jamaah mempunyai amal jamaa’ie yang perlu dipatuhi bagi menjamin kejayaan dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Adalah menjadi harapan kita dalam masa setahun yang akan datang ini bahawa kita harus memastikan:

1. Diri kita dan semua ahli disusun dalam usrah.

2. Kita mendisiplinkan diri kita untuk taat serta menghormati pimpinan termasuk AJK dan naqib/naqibah usrah kita.

3. Kita sanggup menerima dan melaksanakan tanggungjawab yang diberi kepada diri atau kumpulan usrah kita.

4. Kita menghadiri dan melibatkan diri kita dalam program-program yang disusun.

5. PS JIM dicapai sepenuhnya.

Walaupun jika ingin digariskan banyak lagi harapan yang ada, namun ini adalah asas-asas bagi menjayakan Misi Islah.

6. RUJUKAN

1. MISG Net. Kepentingan Tarbiyah dan Dakwah.

2. Risalah Usrah Jilid 1 ”Sekitar Risalah Usrah”, Abu Urwah, Pustaka Salam, 1986.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home