Diari JIM Petaling Jaya

Catatan tentang program dan aktiviti JIM Petaling Jaya

Friday, December 09, 2005

Ucapan Dasar PPN 2005: Membina Kekuatan Menegakkan Syariah

Assalamu`alaikum
Semoga dirahmati Allah sentiasa.

Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w.).

Sidang hadirin sekalian.
Apa khabar?

The Unraveling of the West

Liberal Democracy masih menjadi anutan majoriti umat manusia. Negara yang baru bebas daripada sistem Sosialis berpusu-pusu menganut cara hidup baru ini. Yang mempunyai penduduk bukan Islam tidak teragak-agak menerimanya. Orde lama, sosialis yang menjelmakan semula diri mereka sebagai demokrat, masih perlu disingkirkan. Oleh itu dunia menyaksikan revolusi Velvet (Czechoslovakia 1989), Rose (Georgia 2003), Orange (Ukraine 2004) dan Tulip (Kyrgyzstan 2005). Sekarang masih berlangsung revolusi Orange juga di Uzbekistan.

Perubahan di negara umat Islam lebih sukar. Pemimpin-pemimpinnya tidak tahu bagaimana untuk mengundur diri walaupun rakyat sudah bangkit. Dia sahaja yang nak menang, walau dengan apa jua cara. Undang-undang pilihanraya digubal untuk menguntungkan dia. Bolehkan orang lain bertanding Presiden tapi syaratnya amat banyak. Kumpulan yang berpotensi memberi tentangan tidak dibenarkan bertanding. Tidak yakin juga akan menang, tangkap pemimpin dan penyokong pembangkang. Penipuan? Sampai sekarang kita masih hairan mengapa kerajaan berat sangat hendak menggunakan dakwat hitam di jari. Apa yang ditakutkan? Wang? Masih adakah yang yakin bahawa wang tidak digunakan?

Nasib umat Islam memang selalu begitu. Itu pun bukan untuk perubahan yang mengizinkan kita menikmati kehidupan di bawah lindungan syariah, hanya perubahan kepada demokrasi.

Barat masih menguasai dunia dan penguasaan mereka kini tidak ditandingi. Umat Islam yang mempunyai cara hidup yang terbaik, malangnya berlumba-lumba menikmati syurga mereka di bumi dan tidak teragak-agak berkiblatkan Barat. Tidak perlu berhujah panjang. Islam ditinggalkan dalam urusan negara, sedangkan nilai dan norma Barat juga yang digunakan dengan bangganya. Conformity dengan piawaian Barat juga yang diusahakan.
Kalau kita sebut mereka tidak mengutamakan agama, mereka melenting. Dirujuklah masjid-masjid dan institusi-institusi Islam yang telah mereka bina. Kita memang menyokong usaha itu kerana syiar dan institusi-institusi itu penting, malah perlu diperbanyakkan dan dipertingkatkan mutu perkhidmatannya. Tetapi kita mesti juga membangkitkan tentang riba, judi, arak dan pergaulan bebas. Isu ajaran sesat yang membabitkan segelintir dipandang serius (kita sokong) tetapi pemesongan aqidah Islam melalui proses penerapan dan pembiasaan hingga beramal dengan Materialisme, menerima sistem kewangan berasaskan riba, ekonomi Kapitalis, politik demokrasi dan pemerintahan berasaskan kedaulatan rakyat (sovereignity of the people) tidak pernah disanggah. Rokok lebih diTak Nak daripada arak. Kesungguhan mereka untuk melaksanakan Islam belum terbukti. Mungkin mereka tidak kisah, jika gelagat seorang Ahli Parlimen dijadikan ukuran. YB tersebut telah tanpa segan atau silu menyarankan dikumpul dana untuk sukan melalui loteri. Lebih aib lagi beliau berhujah bahawa kerajaan tidak perlu takut kepada wakil pembangkang, kerana mereka hanya ada enam sahaja. Baru pecah tembelang rupa-rupanya selama ini manusia pembangkang itu yang ditakuti, bukan Allah yang Maha Besar.

Tamadun Barat sedang terburai di depan mata kita. Keruntuhan moralnya (moral decadence) telah lama bermula. Malah sejak daripada tahun enam-puluhan lagi ia telah dikait-kaitkan dengan apa yang berlaku semasa awal keruntuhan empayar Rum.

Tamak haloba, tiada belas kasihan dan tiada rasa tanggungjawab telah mendorong berlakunya krisis kewangan Asia Timur pada tahun 1997. Kelemahan sistem yang membuka peluang mengaut untung telah disambar walaupun akibatnya akan membawa kesusahan kepada jutaan manusia.

Barat telah membelakangkan kebenaran. Terbukti kini perang terhadap Iraq bukan kerana alasan kewujudan weapon of mass destruction. Kini mula terbongkar yang mereka tahu hakikat itu. Malah bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dengan cara yang tidak berapa berlapik menyatakan bahawa Presiden Bush telah berbohong.

Amal perang mereka tidak membezakan pejuang dengan orang awam. Semuanya adalah sasaran wajar bagi mereka. Nyawa manusia tiada nilai bagi mereka. Mereka mengistilahkannya sebagai collateral damage. Kemusnahan nyawa dan harta benda di Iraq menjadi bukti kezaliman mereka. Rakyat Iraq yang bangkit menentang dilabel pengganas, pada hal mereka yang menceroboh. Dalam apa jua pertimbangan rakyat Iraq mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan tanah air mereka. Tetapi dalam suasana “kuat itu benar” tiada siapa pun yang berani mengheret Amerika ke muka pengadilan antarabangsa di atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.

Negara yang diasaskan dengan pengisytiharan, “We hold these Truths to be self-evident, that all Men are created equal, that they are endowed by the Creator with certain unalienable Rights, that among these are Life, Liberty, and the Pursuit of Happiness”, rupa-rupanya “all Men” itu tidak termasuk orang di Iraq. Nyawa 2000 askarnya yang terkorban di Iraq jauh lebih mahal daripada nyawa puluhan ribu rakyat Iraq, tidak kira lelaki atau wanita, kanak-kanak atau orang tua. Mungkin jumlah kematian akibat perang ini telah melebihi jumlah kekejaman Saddam yang sekarang dibicarakan.

Barat yang mendabik dada dengan rekod hak asasi manusianya, hingga pernah menjadikannya syarat hubungan dagang, dimalukan dengan pendedahan penderaan di Abu Ghraib. Mereka menyalahkan pegawai rendah yang bertindak menyalahi peraturan. Kemudian perhatian dunia tertumpu kepada pelanggaran hak asasi manusia di Guantanamo Bay. Kesalahan pastinya tidak boleh dialihkan kepada pegawai tentera. Sudah bukan rahsia lagi bahawa Guantanamo Bay di Cuba adalah untuk mengelak memberi hak kepada tahanan jika mereka ditahan di wilayah Amerika. Kemudian terdedah pula tentang kewujudan pusat-pusat soal siasat di Eropah dan di Afrika Utara. Tiada sebab lain mengapa ini dilakukan kecuali untuk menggunakan kaedah yang tidak boleh dipakai di Amerika sendiri. Rupa-rupanya Amerika mengamalkan out-sourcing bukan dalam bidang IT sahaja. Kini isu ini berpotensi menjadi insiden antarabangsa kerana Kesatuan Eropah telah membantah penggunaan ruang angkasanya bagi tujuan ini. Peliknya EU tidak pula membantah kesediaan negara-negara Eropah yang terbabit memberi khidmat tersebut kepada Amerika. Setiausaha Luar Amerika, Condoleezza Rice tidak menafikan ia berlaku, walaupun menafikan penderaan di pusat-pusat tersebut. Rice memperkenalkan istilah baru, “rendition”, yang didakwanya menyelamatkan nyawa kerana mengeluarkan pengganas dari medan pertempuran. Kalau setakat ingin membawa “pengganas” keluar dari medan mengapa sampai ke Eropah dan Afrika dan dengan penuh rahsia?

Barat juga amat berbangga dengan urus tadbir korporat (corporate governance) dan etika korporatnya. Tidak lagi. Peristiwa kejatuhan Enron dan percubaan Arthur Andersen, syarikat juru auditnya menghalang siasatan dengan melupuskan bahan bukti menggegarkan dunia korporat. Ini diikuti dengan kejatuhan WorldCom, Global Crossing dan Tyco International, semuanya korporat gemilang tahun sembilan puluhan.

Barat juga tidak terlepas daripada gejala rasuah. Negara-negara membangun sering dipersalahkan (memang pun) kerana amalan rasuah walaupun rasuah berjumlah mega-mega selalunya hanya mampu diberi atau dibiaya oleh korporat Barat. Baru-baru ini terdedah amalan rasuah di Mercedes Benz. Pegawai kesatuan sekerjanya telah disuap. Padanlah damai di kilang.

Barat juga menobatkan dirinya sebagai jaguh pasaran bebas. Negara-negara kecil terpaksa membuka pasarannya dan mengurangkan tariff. Jika tidak akan ada akibatnya. Bila pasaran terbuka itu tidak menguntungkan mereka, berbagai-bagai cara mereka gunakan untuk mengelak. Mereka merujuk kepada persaingan yang tidak adil kerana harga Yuan yang rendah, longgokan (dumping), gaji pekerja yang murah, waktu kerja yang panjang, tenaga kerja bawah umur dan macam-macam lagi. Semua kelebihan (advantage) orang dikata mereka persaingan tidak adil. Bila kelebihan memihak kepada mereka, mereka mendabik dada bangga. Mereka masih mengamalkan subsidi yang menjadikan hasil dunia ketiga tidak mampu bersaing. Mereka juga mengenakan kuota seperti dalam krisis tekstil di antara Amerika dan China serta Eropah dan China. Pandai pula mereka berhujah bahawa tanpa kuota, industri tekstil mereka akan lumpuh dan ramai akan hilang pekerjaan. Industri orang lain lumpuh atau rakyat negara lain hilang mata pencarian tidak pernah mereka timbangkan. Barat tidak akan teragak-agak menukar atau membuat peraturan baharu apabila persaingan bebas tidak menguntungkan mereka.

Barat sering memandang rendah amalan demokrasi dan pilihanraya di negara-negara membangun. Namun pilihanraya di Iraq bagi mereka lulus cemerlang. Bolehkah kita berguru kepada mereka?

Sudah cukupkah kritikan terhadap Barat?
Rasa gembira?

Sebenarnya tidak ada sebab untuk bergembira. Tamadun Barat belum nak roboh. Malah kelemahan itu memang sepatutnya. Pencarian mereka tentang erti kehidupan dan fitrah manusia belum berakhir. Ideologi Liberalisme mempunyai daya tahan yang amat tinggi. Ia telah bertahan lebih lama daripada dua ideologi yang lebih baru, Sosialis-Marxisme dan Fasisme. Sebab utama Liberalisme lebih mampu bertahan adalah kerana andaiannya bahawa manusia semula jadinya baik lebih hampir dengan fitrah dari andaian manusia berkecenderungan kepada kejahatan. Sebab kedua adalah kerana ia melibatkan semua. Walaupun masih meraban ia sentiasa dinamik dan melibatkan rakyat menentukan halatujunya. Pemerkasaan seperti ini memberi motivasi yang tinggi dan kesan yang mendalam kepada penganutnya. Ia membuat orang merasa mereka berkuasa (in-control). Sebab yang ketiga adalah kesediaan dan kemampuannya untuk berubah. Ia tidak terhalang dengan dogma. Ia tidak terkongkong dengan pantang larang. Ia bebas. Jika ini tidak menjadi, cuba yang itu. Jika yang itu pun kurang berjaya, ubah kepada yang lain pula. Kemampuannya untuk menerima yang baru, termasuk yang asing, amat luar biasa. Dulu buruh musuhnya. Kemudian gerakan pekerja diserapkan. Boleh menang pilihanraya tetapi semua setuju gerakan marhaen yang mengalami perubahan kekal. Jika ideologi super anjal ini berjumpa dengan gerakan Islam apa hasilnya? Adakah gerakan Islam akan terserap atau ia yang diIslamkan? Saya percaya jika gerakan Islam menang pilihanraya pun ia memerlukan usaha yang luar biasa untuk membebaskan diri dari memerintah dengan cara Liberal Demokrasi. Gerakan Islamlah yang akan merasa tidak selesa, sedangkan mereka tidak apa-apa jika gerakan Islam memerintah.

Jadi kita berhadapan dengan saingan yang amat kental. Lawan yang tidak boleh diambil enteng. Bayangkan, kita menghadapi tugas menyakinkan manusia yang sedang “menikmati kebebasan” untuk menjadi hamba kepada Allah, kerana di dalam perhambaan kepada Allah itulah kebebasan yang sebenar!

Isu Palestin

Palestin adalah cabaran terbesar kepada Barat, di mana segala prinsip dan logik mereka terungkai. Berlaku pelanggaran hak asasi manusia, pendudukan (occupation), penafian penentuan sendiri (self-determination), amalan fasisme (Zionisme) oleh mereka yang menderita di bawah regime fasis Hitler, terus menyokong ekonomi yang mengalami inflasi hyper, amalan pembersihan etnik dan lain-lain kekejaman.

Jika ada satu pengalaman yang paling berharga daripada perjuangan di Palestin, bagi saya adalah, perlunya mengambil sendiri inisiatif untuk membawa perubahan. Bergantung kepada orang lain, sama ada negara-negara Arab atau masyarakat antarabangsa lebih besar kemungkinan menjadi alat kepentingan mereka. Nasib umat di Palestin mula berubah dengan inisitif gerakan Fatah dan penubuhan PLO. Ia lebih menunjukkan hasil apabila rakyat bangkit melalui siri intifadah. Pengunduran Israel merupa usaha strategik untuk mengumpul kekuatan. Kebangkitan rakyat dari dalam Palestin sendiri bermakna hanya menanti masa kemajuan yang lebih besar. Israel bersedia menerima sesuatu yang tidak terfikir setahun yang lalu seperti berundur daripada semenanjung Gaza.

Kini penyelesaian dua negeri menjadi asas, secara reda atau de facto. Rakyat Palestin lebih mengetahui, tetapi dari jauh kita melihat beberapa perkara perlu perhatian supaya tidak merugikan. Penyelesaian 2-Negeri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa bermakna Palestin hilang hak ke atas bumi yang diduduki Israel selepas sempadan dipersetujui. Hak untuk kembali (Rights of Return) yang masih menjadi pendirian Bangsa-bangsa Bersatu mungkin akan terhad kepada negeri Palestin sahaja dan bukan ke tempat asal mereka diusir. Dengan penyelesaian ini juga bermakna segala resolusi PBB yang tidak dipatuhi oleh Israel sebelum ini mansuh dengan sendirinya. Israel terhapus belengu kegagalan menurut kehendak masyarakat antarabangsa buat selama-lamanya. Apakah penyelesaian lain seperti penyingkiran regim Aparteid di Africa Selatan pernah dinilai?

JIM akan terus meningkatkan usaha menyokong perjuangan Islam di Palestin.


Perjuangan Menegakkan Syariah di Malaysia

Kita semak kembali beberapa pemahaman kita.

Hala tuju kehidupan kita adalah untuk hidup dalam redha Allah sentiasa dengan:

1. Mengamalkan Islam dalam kehidupan kita seharian
2. Berusaha agar Islam menjadi amalan hidup masyarakat dan negara

Kita meneruskan perjuangan para Anbia’dan melaksanakan misi dakwah ar-Rasul (saw).

Kita meletakkan wawasan kita sebagai:

“Membangun sebuah negara Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya syariat Islam menjelang 2020”

Kita rangkumkan pernyataan misi kita seperti berikut:

“Membangun sumber manusia untuk melahirkan insan salih wa muslih,

Membudaya pendekatan perkongsian dan permuafakatan,

Mengislah dan menggembleng masyarakat ke arah penegakan kebenaran dan keadilan sejagat.”


Negara kita Malaysia walaupun dipimpin oleh orang Islam tetapi melaksanakan sistem Barat yang aqidahnya Materialisme, ideologinya Liberalisme, politiknya demokrasi dan ekonominya pasaran terbuka (Kapitalisme). Kerajaan tidak dilihat berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan syariah

Perubahan di dalam sistem demokrasi berlaku di atas kehendak rakyat. Oleh itu kita akan berdakwah hingga rakyat menghendaki Syariah

Kita juga fahaman kejayaan gerakan perubahan bergantung kepada kewujudan tiga faktor berikut:

1. Barisan kepemimpinan alternatif yang berwibawa,
2. Tanzim (saf) yang berdisiplin tinggi, dan
3. Isu pencetus, sama ada isu keabsahan kerajaan (legitimacy) atau tuntutan rakyat untuk perubahan sistem

Dari pengamatan kita perkara berikut merupakan faktor-faktor yang membantu atau menghalang perubahan:

1. Politik
2. Ekonomi
3. Ulama
4. Angkatan bersenjata
5. Perkhidmatan Awam
6. Kehakiman
7. Pengaruh Luar

Kita telah mengolah strategi dakwah kita untuk mengandungi lapan Key Result Areas (KRA) iaitu; pembangunan sumber manusia, dana, pandangan umum, networking, pengambilan disasarkan, penglibatan politik, penempatan strategik dan pemantapan organisasi seperti yang dilakarkan.

Bagi memudahkan kepemimpinan JIM Negeri atau Daerah yang baru kita telah melakarkan aspek paling asas (Back-to-Basics, B2B) bagi organisasi, perancangan dan dakwah.


B2B 1: Organisasi

Kita akan asaskan semula organisasi kita agar:

1. berdakwah dengan risalah yang jelas
2. terbina Gerakan berasas iman dan ukhuwah
3. kekuatan berasaskan kekuatan dalaman ahli dan tanzim
4. memburu kesatuan
5. menggerak semua sumber
6. di tengah-tengah masyarakat


B2B 2: Perancangan

Kita akan pastikan perancangan kita merangkumi tiga medan berikut:

1. Dakwah di tengah-tengah masyarakat
2. Tarbiah dan Pembangunan Sumber Manusia (TPSM)
3. Infrastruktur Organisasi yang menyokong Dakwah dan TPSM

B2B 3: Dakwah

Kita akan pastikan dakwah kita bercirikan:

1. Islam pada sikap, amal dan akhlak ahli dan organisasinya;
2. mengetengahkan syar`iah;
3. memberi khidmat kepada masyarakat berasaskan kepedulian;
4. memberi perhatian kepada dakwah dan perhubungan kepada yang bukan Islam;
5. memberi penekanan kepada isu-isu wanita; dan
6. memberi penumpuan kepada pembangunan belia dan remaja.


Anatomi Taat

Perhatikan ayat-ayat al-Quran berikut:

Dua kali dalam surah al-Syu`ara’ (26):108 dan 110, berkenaan Nabi Nuh, Allah berfirman:




Bermaksud, “maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.”
Kalimah yang sama disampaikan oleh Nabi Hud kepada kaum Aad (26:126), Nabi Salih kepada kaum Tsamud (26:144), Nabi Lut (26:163), Nabi Syuib (26:179) dan Nabi Isa (Surah Zukhruf 43:63).

Dalam Surah an-Nisa’: 64 Allah berfirman:





Bermaksud, “Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah”

Dalam Surah an-Nisa’: 59 Allah berfirman:





Bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasulNya, dan Ulil al-Amri di antaramu.”




Dalam Surah Ali-Imran: 149 Allah berfirman:






Bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), maka jadilah kamu orang-orang yang rugi.”

Omar (ra) juga pernah menyatakan bahawa tiada jamaah tanpa ketaatan.

Kesimpulannya, ketaatan dan kepatuhan merupakan sendi yang penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semua kuasa akan hilang jika ia tidak berjaya mendapatkan ketaatan rakyat secara rela atau paksa. Oleh itu ia adalah kunci perubahan. Ia adalah alat yang ampuh. Mungkin akhirnya itu sahajalah yang ada pada kita. Gunakan dengan dengan bijaksana. Pergerakan seperti ini telah menyingkirkan penjajah Britain dari India. Letakkan ketaatan di tempat yang betul. Allah mengkhususkan taat kita kepada Allah dan RasulNya dan orang yang mentaati Allah dan RasulNya. Tiada siapa boleh memaksakannya kepada kita. Bak kata orang Putih, “You can take a horse to the water but you can’t make him drink”. Takkan kuda lebih pandai dari kita?


Isu Wala’

Dalam Surah al-Maidah 5: 55-56 Allah berfirman:









Bermaksud, “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, rasulNya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).

Dan sesiapa mengambil Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”

Larangan mengambil orang kafir, Yahudi dan Kristian sebagai wali juga jelas menurut ayat di bawah:

Dalam Surah Ali-Imran 3: 28 Allah berfirman:






Bermaksud, “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Sesiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka.”

Dan dalam Surah al-Maidah 5: 51 Allah berfirman:






Bermaksud,

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.”

Ayat-ayat di atas menggambarkan dengan jelas siapakah penolong dan pembantu perjuangan kita yang sebenar, Allah, rasulNya dan orang mukmin. Larangan mengambil yang lain sebagai wali juga jelas. Perkara ini harus sentiasa kita ingat. Dalam usaha sama dengan yang lain kita kena pastikan ia memenuhi matlamat kita, sama ada usaha itu jelas menegakkan kebenaran, menentang kezaliman atau ia membuka peluang untuk menyampaikan risalah Islam. Ini perlu dipastikan kerana besar kemungkinan mereka mencapai matlamat mereka lebih awal daripada kita. Kemungkinan besar nanti sampai ketikanya mereka menentang syariah Islam yang kita perjuangkan.


Membina Kekuatan

Dari manakah datangnya kekuatan untuk menegakkan syariah?

Kekuatan yang hakiki datangnya dari pertolongan Allah. Penyerahan segala untukNya, dengan tulus ikhlas dan tanpa sekelumit pun sebab lain.

Secara umumnya kekuatan itu adalah kekuatan ummah. Di Malaysia banyak anasir soleh di dalam masyarakat. Wujud banyak organisasi Islam yang berusaha di dalam medan pilihan masing-masing. Pendekatan maufakat dan membina jaringan kerja di kalangan orang Islam akan meneguhkan kedudukan Islam. Usaha sama dan saling bantu membantu di kalangan organisasi Islam juga akan menambah kekesanan gerakan Islam. JIM tidak teragak-agak menyahut panggilan untuk bersatu, bekerjasama atau menjalin hubungan demi tujuan kebaikan untuk Islam, dakwah dan masyarakat.

Kita juga tahu kekuatan itu datang dari perancangan yang baik, dana yang kukuh dan organisasi yang mantap. Tetapi itu semua adalah hasil usaha aset yang utama iaitu ahli.

Oleh itu dalam peta strategi kita, tarbiah dan pembangunan sumber manusia menjadi KRA yang terutama. Kejayaan akan bergantung kepada kewujudan tenaga terlatih yang cukup bilangannya. Oleh itu usaha dakwah untuk mengumpulkan orang dan pentarbiahan yang sistematik mesti diberi tumpuan. Usaha di kalangan remaja dan belia mesti diberi tumpuan utama.
Ramai yang amat gembira dengan perkembangan Partai Keadilan Sejahtera di Indonesia. Ramai yang ingin mencontohinya. Kejayaan mereka bukan kejayaan yang tiba-tiba. Mereka telah bergiat di dalam masyarakat terutamanya di kalangan pelajar dan penuntut IPT sejak awal 80an lagi. Mereka gigih berdakwah, bertarbiah dan mentarbiah. Seseorang membawa lebih daripada satu kumpulan usrah adalah biasa. Tiada jalan pintas. Apabila peluang muncul merekalah kumpulan yang paling bersedia untuk membawa arus baru. Kita juga harus kembali memberi tumpuan kepada kegiatan dakwah dan tarbiah yang menjadi asas kekuatan kita di masa lampau.

Kita mesti menanamkan semula keghairahan untuk berdakwah dan melaksanakan tarbiyah seperti dahulu. Mengimbau sejarah, ikhwah dan akhawat akan memastikan setiap pelajar baru yang turun dari kapal terbang akan diziarah, dijaga dan diajak untuk mendalami Islam. Kini mad`u kita berkeliaran di depan mata tetapi kita belum tergerak untuk menyampaikan risalah Islam kepada mereka.

Keupayaan menggerakkan sumber akan menjadi kemampuan yang penting. Prasarana yang sampai kepada sumber yang hendak digerakkan hendaklah dibangunkan dan dijaga dengan baik. Rangkaian usrah masih merupakan prasarana yang terbaik. Walaupun internet boleh menyampaikan pesan, tetapi hubungan ukhuwah yang terjalin rapat kerap diperlukan di medan.


Prioriti

Bagi kepemimpinan JIM di semua peringkat, sahutlah cabaran menggerakkan semua sumber dan tenaga untuk bertindak menurut perencanaan. JIM di peringkat Negeri dan Daerah sudah diperkasakan. Manfaatkanlah pengupayaan ini untuk berdakwah tanpa pantang larang.

Bagi ahli-ahli JIM pilihlah medan kegiatan yang ingin diceburi. Saya percaya sumber tenaga ahli belum dimanfaatkan sepenuhnya. Kita perlu menggerakkan kempen isi penuh. Ingat, jika anda tidak bekerja untuk perubahan, anda mungkin sedang membantu penerusan sistem Barat ini!
Di akhir ucapan ini ingin saya mengungkapkan sesuatu, mengenangkan seminggu selepas PPN 2004, pada 26 Disember tsunami melanda. Banyak bencana bersaiz mega telah menyusul.


Allah telah berfirman
Ar-Rasul telah bersabda
Manusia tidak memperdulikan
Itu cerita lama

Air datang membawa pesan
Syahdu seluruh buana
Terserlah baik hati insan
Damai perang di dua benua

Angin pula membawa berita
Kuasa besar bagai dunia ketiga
Minyak naik harga
Negara miskin menghulurkan derma

Giliran bumi memberi amaran
Sengketa berhenti terbuka sempadan

Unggas dah mula membawa titipan
H5N1
Sedar-sedarlah wahai kawan
Apakah kita telah digantikan?

Ayuh
Ambil semula amanah itu
Dari langit, bumi dan gunung-ganang
Tugas kita menyampaikan pesan
Tugas kita menyampaikan amaran
Tugas kita membawa salam
Kerana kitalah
Khalifah Allah



Selamat berPPN



Zaid

0 Comments:

Post a Comment

<< Home