Diari JIM Petaling Jaya

Catatan tentang program dan aktiviti JIM Petaling Jaya

Sunday, February 19, 2006

Seminar Keluarga: Hebat Ibu Bapa, Hebat Keluarga?


Petaling Jaya, 19 Feb -- Wanita JIM PJ telah menganjurkan Siri Pertama Seminar Keluraga dengan tema "Hebat Ibu Bapa, Hebat Keluarga?" di Auditorium Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Kehebatan sesebuah negara lazimnya dikaitkan dengan kekuatan rakyatnya yang dibentuk daripada institusi keluarga yang kukuh. Sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu bapa cemerlang dikatakan dapat melahirkan zuriat gemilang yang bakal menerajui tunggak pemerintahan. Namun dunia kini semakin banyak menyaksikan keruntuhan institusi keluarga yang semakin mencemaskan dan mulai runtuh diasak oleh arus permodenan dan sistem kehidupan yang dinamik di dalam masyarakat Keruntuhan akhlak yang semakin menjadi-jadi di kalangan remaja dan peningkatan kejadian jenayah yang semakin hari bagai tiada penghujungnya adalah hasil daripada penyusutan nilai-nilai kecemerlangan sesebuah institusi keluarga. Justeru, menyedari tentang hakikat ini, JIM daerah Petaling Jaya memulakan usaha dengan mengadakan beberapa siri SEMINAR KELUARGA dengan harapan dapat menghasilkan perkongsian pengetahuan dan maklumat dalam membantu ahli dan masyarakat mengukuhkan institusi keluarga masing-masing .

Dalam Siri Pertama ini dua penceramah telah di jemput. Penceramah pertama Dr Harlina Halizah Haji Siraj, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), HUKM yang juga Ketua Wanita JIM telah membawa tajuk "Tuntutan 'Multitasking' Wanita Berkeluarga". Beliau mengupas tentang kepelbagaian peranan dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh wanita berkeluarga samada yang berkerjaya ataupun surirumah sepenuh masa. Menyentuh persoalan pertindihan dan kecelaruan peranan suami/isteri dalam mengimbangi hak dan tanggungjawab , memahami dilema wanita berkerjaya dan menggariskan ciri-ciri wanita yang menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah institusi keluarga.

Penceramah kedua adalah Dr Tengku Shahrom Tengku Shahdan, Pakar Perunding Pendidikan dan Teknologi Maklumat (Malaysian National IT Council dan Kementerian Pendidikan Malaysia), Presiden, Impian-Teknik Integration System Sdn Bhd dan juga salah seorang pimpinan ISMA. Beliau membawa tajuk "Idola Keluarga – Suami, Bapa dan,…" yang memberikan penekanan terhadap definisi lelaki (sebagai ketua keluarga, suami, bapa, penggerak masyarakat, dsbg). Menyentuh persediaan mental dan fizikal kaum lelaki dalam menghadapi hidup berkeluarga. Melihat kepada hak, tanggungjawab, peranan dan cabaran bagi menghadapi situasi masa kini. Menggariskan faktor-faktor penting seorang bapa dalam memupuk personaliti dan kualiti anak-anak yang gemilang.

Seramai 88 orang peserta telah hadir dari seluruh negara. Beberapa orang telah mendaftar untuk menjadi ahli JIM dan ada juga pemintaan untuk membuka satu daerah baru JIM di PD.

SIRI AKAN DATANG

Siri 2 : Remajaku Pewaris Akhir Zaman
Melihat kepada permasalahan dan cabaran ibu bapa menghadapi anak-anak yang meningkat remaja serta menekankan kepentingan penerapan keperibadian mulia di jiwa anak-anak.

Siri 3 : Bengkel Perancangan Kewangan Berhemat
Memberi panduan dan nasihat perancangan kewangan yang bijak bagi pasangan berkeluarga dalam membentuk rumahtangga yang harmoni dan berwawasan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home